Saturday 3 May 2014

Kejayaan Malaysia dalam Bidang Pertanian





Pertanian merujuk kepada perihal pengeluaran makanan dan barangan melalui perkebunan, penanaman, penternakan dan 
perhutanan. Pertanian merupakan pembangunan penting kepada kebangkitan tamadun apabila penanaman dan penternakan membawa kepada lebihan makanan dan seterusnya membolehkan pembangunan dalam masyarakat yang semakin ramai dan berkelas. Sektor pertanian, merupakan antara aktiviti ekonomi yang dikategorikan sebagai sektor utama (primer sektor) selain daripada perlombongan dan kuari. Walaupun proses urbanisasi semakin pesat dan tumpuan banyak diberikan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan, namun majoriti populasi di Asia Tenggara masih mendiami kawasan luar bandar dan bergantung kepada kegiatan pertanian sebagai sumber ekonomi utama.
Sektor pertanian sememangnya merupakan sektor yang terpenting bagi negara-negara membangun seperti Malaysia. Malah ia merupakan antara ciri terpenting yang membezakan status antara negara-negara membangun dan negara-negara maju. Sektor ini jugalah yang telah menyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia di dalam era selepas merdeka yang mana pada masa tersebut, majoriti penduduk tertumpu kepada aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dan perlombongan. 

Perkembangan Sektor Pertanian pada masa kini



Sektor pertanian telah memainkan peranan penting di dalam pembangunan sosial dan ekonomi Malaysia. Kegiatan pertanian pada masa itu adalah pertanian sara diri dan tradisional. Tanaman industri iaitu getah mula diperkenalkan pada tahun 1887 apabila benih getah ditanam di Kuala Kangsar, Perak. Penubuhan Institut Penyelidikan Getah pada tahun 1926 telah mengorak langkah menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama getah asli di dunia untuk beberapa abad sehinggalah akhir tahun 1980an. Sumbangan terhadap Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) telah meningkat kepada RM6.8 bilion pada tahun 1995, berbanding RM3.6 bilion pada tahun 1985 iaitu peningkatan sebanyak 5.6 peratus. Jumlah kawasan tanaman sawit telah meningkat daripada 1.5 juta hektar pada tahun 1985 kepada 2.5 juta hektar pada tahun 1995.
Penubuhan institusi-institusi pembangunan kawasan, penyatuan dan pemulihan tanah seperti FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi-agensi pembangunan wilayah telah mempergiatkan lagi pembukaan tanah baru untuk tanaman industri di samping mencapai matlamat membasmi kemiskinan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sementara itu, penubuhan agensi-agensi khusus seperti FAMA(1965), Bank Pertanian Malaysia (BPM) (1969), MARDI (1969), Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) (1971), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) (1971), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) (1970), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) (1972), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) (1973) dan beberapa agensi yang lain telah menyediakan kemudahan pemasaran, penyelidikan, kredit dan khidmat sokongan kepada kumpulan sasar dan mempergiatkan lagi pembangunan sektor pertanian.

0 comments:

Post a Comment