Saturday 3 May 2014

Kejayaan Malaysia dalam Bidang Sukan

Datuk Lee Chong Wei



Datuk Lee Chong Wei, sudah tidak dapat dinafikan bahawa beliau merupakan suatu ikon kejayaan Malaysia. Beliau digelar “Pemain Badminton No. 1 di Dunia” dan ini sesungguhnya telah menaikkan imej negara di persada dunia dengan bakat beliau yang telah menjadi perintis kepada bidang kesukanan Malaysia, khususnya dalam sukan badminton.

Anak jati Malaysia ini telah dilahirkan di Georgetown, Pulau Pinang dan pada hari ini menetap di Bukit Mertajam. Walaupun beliau pada zaman mudanya amat menggemari permainan bola keranjang, beliau mula membenam minatnya dalam badminton sewaktu berusia 11 tahun. Pada masa itulah, beliau dibawa ke gelanggang badminton oleh ayahnya yang merupakan peminat permainan ini. Bakatnya terserlah walaupun masih muda dan hal ini telah menarik perhatian seorang jurulatih tempatan yang sanggup mengambilnya sebagai anak muridnya. Beberapa tahun kemudian, Lee Chong Wei yang berusia 17 tahun telah didaftarkan ke dalam pasukan badminton Malaysia.

Sejak hari itu, kerjaya beliau telah berkembang dan kejayaan pertama beliau adalah dalam pertandingan Malaysia Open pada tahun 2003, walaupun beliau dikalahkan oleh Chen Hong dari China. Tidak lama kemudian, pada tahun 2004 beliau mendapat peluang bermain dalam Sukan Olimpik untuk mengharumkan nama negara. Walaupun dikalahkan oleh Chen Hong sekali lagi, kegigihannya akhirnya berbalas jua apabila beliau berjaya merangkul dua pingat emas dalam Sukan Komanwel pada tahun 2006. Pada tahun 2010, beliau berjaya mendapat anugerah individu dalam pertandingan All England Super Series. Nama dan reputasinya dalam bidang kesukanan Malaysia terus meningkat dan kejayaan beliau dalam sukan ini telah menjadi kebanggaan Malaysia.

Pendek kata, Malaysia dikurniakan dengan seorang yang berbakat dalam bidang kesukanan badminton dan Datuk Lee Chong Wei akan terus menjadi simbol kegigihan dan usaha berdaya maju bagi generasi baru Malaysia untuk mengejar impian dan cita-cita. Sememangnya kita semua harus menjadikan beliau sebagai teladan dalam berusaha mencapai kejayaan untuk tanah air yang tercinta.

Datuk Nicol Ann David



Datuk Nicol Ann David merupakan pemain skuasy professional Malaysia. Beliau telah mengukir nama untuk Malaysia di arena skuasy dunia dalam kategori wanita. Kini, beliau dikenali sebagai pemain skuasy wanita No. 1 di dunia dan merupakan orang Asia pertama untuk mendapat gelaran tersebut. Beliau pernah memenangi gelaran Terbuka British pada tahun 2005, 2006 dan 2008, dan juga gelaran Terbuka Dunia pada tahun 2005, 2006, 2008, 2009 dan 2010.

Dilahirkan di Pulau Pinang, Nicol merupakan anak kepada Ann Marie David, seorang guru sekolah berketurunan Cina dan Desmond David, seorang jurutera berketurunan India yang pernah menjadi olahragawan dan pemain bola sepak negeri. Nicol mempunyai dua adik-beradik, iaitu Lianne dan Cheryl, yang merupakan pemain skuasy cemerlang di peringkat kebangsaan. Sewaktu muda, Nicol paling cemerlang dalam mata pelajaran Matematik di sekolah, beliau pernah bercita-cita menjadi jurutera. Nicol mendapat tujuh A dalam Penilaian Menengah Rendah dan tujuh A lagi dalam Sijil Pelajaran Malaysia, sewaktu menelaah diSekolah Menengah Kebangsaan Convent Green Lane di Green Lane, Pulau Pinang. Beliau beragama Kristian (Katolik Roma).

Sejak beliau mula berkecimpung dalam sukan skuasy, beliau telah banyak mencapai kejayaan dan antaranya ialah kemenangannya dalam pertandingan World Junior Squash Championship dalam kategori wanita pada tahun 1999. Pertandingan tersebut berlangsung di Antwerp, Belgium dan beliau telah menjadi wanita termuda, pada usia 15 tahun, untuk memenangi pertandingan tersebut. Malah, beliau telah mengalahkan tiga pemain yang tersenarai dalam 20 pemain skuasy terhandal dunia dalam pertandingan tersebut. Hal ini telah membanggakan tanah air dan kejayaannya tidak berhenti di situ apabila Nicol, pada usia 21 tahun, menjadi pemain skuasy termuda untuk memenangi pertandingan World Open di Jerman. Tidak lama kemudian, beliau menjadi pemain skuasy tempatan pertama untuk memenangi pertandingan Women’s CIMB Malaysian Open Squash Championship yang tidak pernah berlaku sejak 31 tahun pertandingan ini diadakan. Kejayaan terbarunya diukir semasa Datuk Nicol Ann David, pada tahun 2010, memenangi Kuala Lumpur Open untuk kali ke-enam sejak tahun 2000.

Sesungguhnya Datuk Nicol Ann David merupakan symbol kecemerlangan Malaysia dalam sukan skuasy dan kita sebagai generasi muda Malaysia harus mengambil iktibar dan meneladani tokoh Malaysia ini. Beliau telah banyak memberi sumbangan kepada negara ini dan menaikkan nama Malaysia dalam bidang kesukanan sedunia.

0 comments:

Post a Comment